Sabtu, 23 Mei 2009

"MEMANG KAMI JUMPA ANIFAH DI LE MERRIDIEN..."
















"Memang kami ada jumpa Anifah dan seorang lagi yang bernama Kiandee di Pent House' Le Merridien. Kami adalah beberapa orang. Kami dijemput untuk berbincang," ujar Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Dr Jeffrey Kitingan ketika dihubungi Sabahkini.net yang ingin mendapatkan pengesahan beliau berhubung maklumat terkini mengenai isu Anwar menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Datuk Anifah Aman.

Jeffrey mengakui bahawa pihaknya hadir kerana dijemput untuk berbincang berhubung senario politik ketika itu dan bukannya datang menawarkan habuan atau membuat tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri kerana mereka sedar ianya hanya perbincangan dua hala yang tidak akan membuahkan hasil dalam masa singkat kerana bercanggah dengan prinsip Pakatan Rakyat.

"Anifah telah menawarkan alternatif untuk bergabung dengan Pakatan Rakyat melalui parti tempatan. Dia tidak sebut parti mana itu. Kita bukanlah pembuat dasar dan kita bukan kerajaan dan alternatif yang diberikan hanyalah untuk menyelesaikan ketegangan dan bukannya membuat tawaran jawatan," ujar Jeffrey yang enggan memberitahu sama ada Anwar hadir atau tidak dalam perjumpaan khas berkenaan.

Selain Anifah, ada ramai lagi pemimpin BN terutama sekali parti komponen bersama Anifah ketika itu tetapi ianya tidak material lagi, kata Jeffrey, yang hanya menumpukan isu berkenaan kepada batang tubuh Anifah sendiri yang telah melempar batu sembunyi tangan apabila menuduh Anwar membuat tawaran namun enggan melaporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tegas Jeffry, pihaknya hanya mendengar cadangan dan tidak membuat laporan kepada SPRM kerana ketika itu tidak ada sebarang tawar menawar sebaliknya perbincangan sulit untuk menstabilkan politik Malaysia ketika BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Namun Jeffrey tidak menafikan atau mengiakan ketika di tanya apakah perjumpaan berkenaan turut membicarakan isu 916 yang dipercayai menemui kegagalan kerana Anifah membawa sekutunya berpaling tadah dan menyokong BN sehingga menerima jawatan Menteri Luar, sedangkan sebelum ini beliau menolak jawatan Timbalan Menteri.

Dalam pada itu, menurut sumber dalaman yang mendedahkan perjumpaan antara Anifah dan Jeffrey di Le Meridien selepas pilihanraya umum lalu dan berikutan perjumpaan tersebut, Anifah telah menemui Anwar di sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu.

Namun Sabahkini.net belum memperolehi sebarang butiran lanjut berhubung pertemuan sulit Anifah dan Anwar secara empat mata dan selepas itu bersama beberapa pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat.

Sikap berdiam diri pemimpin Pakatan Rakyat dan notis saman yang difailkan Anwar berikutan keengganan Anifah meminta maaf menyebabkan isu ini bagaikan api yang merebak secara senyap di tanah gambut, sukar dikesan atau dipadamkan dalam masa yang singkat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan