Selasa, 2 Mac 2010

SKANDAL HOTEL HARAM DI KENINGAU?

Oleh: MUTALIB M.D
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disarankan menjalankan kajian dan siasatan berhubung kegiatan pemalsuan pelan bangunan dan tindakan mendirikan bangunan tidak mengikut pelan tata atur yang diluluskan pihak berkuasa tempatan.
Timbalan Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat Sabah, Pajuddin Nordin ketika menghubungi Sabahkini.Net memaklumkan bahawa pihaknya meyakini bahawa kebanyakan bangunan yang dijadikan hotel di Keningau tidak dikemukakan kepada Majlis Daerah Tenom untuk kelulusan.
“Salah satu yang kita kenalpasti ialah Hotel Juta. Pada asalnya hanya ianya dibina setinggi tujuh tingkat pada 1997 dan kemudiannya ditambah empat tingkat lagi menjadikannya sebelas tingkat sedangkan tetulang cerucuk yang digunakan tidak mampu menampung bangunan 11 tingkat,” ujar Pajuddin yang kesal kerana Majlis Daerah Keningau gagal menguatkuasakan Ordinan Perancangan Bandar Dan Desa (Sabah Cap 141) .
Kesan paling ketara kata Pajuddin, bangunan berkenaan mula condong dan membahayakan orang ramai sehingga memaksa pemilik bangunan mendirikan tiang sokongan di luar kawasan premis dan menceroboh tanah simpanan jalan.
“Saya harap, Kerajaan Negeri Sabah tidak terus bersikap hipokrit dengan mendesak pemaju Patung Dewi Laut Ma Tzu di Kudat mengemukakan pelan kepada Jawatankuasa Pusat Perancang Bandar yang tidak pernah wujud sebagai alasan tidak meluluskan pembinaan patung berkenaan dan dalam masa yang sama menutup mata kepada begitu banyak bangunan haram di Keningau,” ujar Pajuddin yang menggesa SPRM lebih aktif memantau kegiatan tidak sihat ini.
Pajuddin yang juga Exco AMK Keadilan Pusat mendesak SPRM lebih peka dan tidak menunggu laporan rasmi sahaja, sebaliknya memantau semua laporan termasuk media dan portal seperti Sabahkini.Net.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan