Rabu, 11 November 2009


21 Oktober 2009

Datuk Sam Mannan,
Pengarah,
Jabatan Perhutanan Sabah,
Ibu Pejabat Jabatan Hutan,
Batu 7, Jalan Labuk,
Beg Berkunci 68,
90009 SANDAKAN, SABAH

Yang Berbahagia Datuk,

PENAFIAN ATAU PENYIMPANGAN UNDANG-UNDANG?
Dengan segala hormatnya saya ingin menarik perhatian Datuk berhubung perkara di atas. Surat Datuk bil. JPHTN/PP (S) 500-0/6/8 bertarikh 10 September 2009 adalah berkaitan langsung.

2. SUKACITA saya sekiranya Datuk dapat menjelaskan isu pembalakan di tanah tinggi di Hutan Simpan Kelas II Kuamut secara profesional dan tidak berdolak dalih atas arahan pihak atasan.

3. Saya bersetuju menerima polisi dan prinsip bahawa kegiatan pembalakan di tanah tinggi melebihi 25 darjah tidak dinyatakan secara jelas di dalam Enakmen Hutan, tetapi perkara asas yang menjadi perdebatan ialah Polisi Kerajaan Negeri bahawa Kawasan Hutan yang mempunyai ketinggian melebihi 25 darjah adalah Kawasan Konservasi.

4. Perkara utama yang wajar dipertimbangkan, berdasarkan maklumat pakar perhutanan bahawa Kawasan Hutan Simpan Kuamut terutama Konsesi YS 3/07 (5), YS 3/07 (6A) dan YS 3/07 (6B) adalah melebihi ketinggian 25 darjah dan kerana itu saya bertegas mengatakan bahawa kawasan melebihi 25 darjah adalah kawasan konservasi dan diharamkan sebarang kegiatan pembalakan.

5. Saya hanya menyampaikan rungutan rakyat Sabah/Malaysia bahawa pegawai yang menentusahkan kawasan ketinggian haruslah kompetan dan juru ukur bertauliah dan bukannya kakitangan bawahan yang tidak berpengalaman di lapangan.

6. Saya ingin membicarakan isu ini kerana tidak berminat mengulas pendedahan Datuk bahawa pembalakan pada era 80-an hingga 90-an tidak terkawal berbanding sekarang.

7. Persoalan utama yang timbul di fikiran saya adakah verifikasi kecerunan dilakukan sebelum kelulusan diberikan? Konsesi YS 3/07 (5), YS 3/07 (6A) dan YS 3/07 (6B) yang terletak di kawasan Kuamut terletak jauh di pedalaman dan memerlukan kos dan masa yang begitu banyak untuk mengenalpasti kecerunan kawasan berkenaan.

8. Siapa yang melakukan verifikasi ini? Bolehkan verifikasi ini dilakukan dalam tempoh satu minggu? Apakah ini tugas pembalak atau Jabatan Perhutanan sebelum kelulusan membalak diberikan?

9. Adakah dilakukan pemantauan dan verifikasi sama ada Konsesi YS 3/07 (5), YS 3/07 (6A) dan YS 3/07 (6B) yang diklasifikasikan sebagai Kelas II boleh di balak atau kawasan dilindungi sehingga tiada kegiatan pembalakan boleh dilakukan.

10. Saya percaya bahawa peta pembalakan konsesi berkenaan telah Datuk luluskan telah dipalsukan bagi membolehkan kegiatan pembalakan dilakukan di kawasan tanah tinggi. Peta berkenaan menunjukkan hanya sedikit sahaja kawasan tanah tinggi yang melebihi 25 darjah dan tidak menunjukkan keseluruhan konsesi berkenaan melebihi kecerunan 25 darjah.

11. Mengikut peta topografi, puncak bukit berkenaan melebihi 3,000 kaki tetapi telah dimanipulasi sebagai kawasan yang boleh dibalak dengan mengurangkan ketinggian dan kecerunan kawasan berkenaan.

12. Saya percaya kegiatan pemalsuan dan manipulasi kawasan tanah tinggi telah berlaku. Sehubungan itu, saya mendesak Datuk menjelaskan bagaimana proses menentukan sesuatu kawasan itu tanah tinggi atau sebaliknya.

13. Sebagaimana yang Datuk ketahui bahawa Pegawai di Unit Pemetaan GIS, Han Wai Kong mempunyai seorang adik, Frank Han Kang Kong, iaitu Pengurus Besar Danagaya Sdn.Bhd (Kontraktor yang dilantik Yayasan Sabah).

14. Sewajarnya Datuk menyedari bahawa Yayasan Sabah yang memohon lesen pembalakan tetapi Kontraktor yang melakukan gerak kerja di lapangan untuk mendapatkan kelulusan dan saya melihat pertalian antara pegawai Datuk dan Frank Han adalah bercanggah dengan undang-undang kerana mempunyai hubungan dan kepentingan untuk diri mereka sendiri.

15. Sehubungan itu, saya memohon jasa baik Datuk agar menangguhkan atau membatalkan lesen pembalakan yang diluluskan secara silap bagi konsesi YS 3/07 (5), YS 3/07 (6A) dan YS 3/07 (6B) sehingga siasatan menyeluruh dijalankan.

16. Bak kata pepatah, gunung akan tetap menjadi gunung kerana Gunung Kinabalu adalah kemuncak tertinggi di Asia Tenggara. Pemeriksaan fizikal harus dilakukan oleh Datuk sendiri untuk menyelesaikan kesangsian masyarakat terutama pembayar cukai yang membolehkan Datuk duduk bersenang-lenang dalam bilik berhawa dingin dengan membetulkan segala kesilapan dan jenayah kolar putih yang berlaku selama ini.

Sekian, Salam Hormat,

ZAINUDDIN HASSAN
Ketua Penerangan AMK Keadilan Sabah.

Dengan Ingatan Tulus Ikhlas Surat Terbuka ini disalinkan kepada;

YAB DATUK SERI MOHD NAJIB TUN ABDUL RAZAK
Perdana Menteri Malaysia,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 PUTRAJAYA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan