
WALAUPUN kes Saman No. S21-114-2002 yang difailkan oleh OKK Hassnar M.P Ebrahim (gambar) hanya kes salah tangkap atau salah tahan, namun Peguam Negara Malaysia telah mengkategori kes ini sebagai kes penting di dalam fail PN/SBH/HQ/13/06/2003 kerana melibatkan integriti Kerajaan Persekutuan.
Hassnar dalam saman sivilnya mencabar Inspektor Majari Awaljari dan 11 yang lain di Mahkamah Tinggi Sandakan kerana polis telah menyalahguna kuasa menangkapnya secara salah dan berniat jahat sehingga mencemarkan imejnya sebagai peniaga dan pemimpin masyarakat.
Ketika ditemui sabahkini.net, Hassnar mendakwa beliau bukan sahaja menuntut pampasan di atas kerugian harta, kesengsaraan fizikal, kecederaan nama baik, malah ingin agar tanah yang dirampas dikembalikan kepada mereka yang berhak.
"Tanah ini adalah tanah adat, bukan tanah setinggan. Kerajaan Berjaya telah membenarkan penduduk tinggal dan mendirikan rumah BDC dengan membangunkan segala prasarana. Kenapa pula Kerajaan BN yang robohkan dan rampas tanah adat tersebut?," ujar Hassnar yang menceritakan bahawa beliau ditangkap polis ketika membantu penduduk BDC membuat laporan polis setelah rumah mereka dirobohkan dalam Ops Nyah II Bersepadu pada 2002.
Walaupun ketika itu, Musa Aman hanya menjadi Ketua Perhubungan UMNO Sabah, namun kata Hassnar telah mengeluarkan kenyataan bahawa tanah tapak rumah bumiputera yang tersilap dirobohkan akan dibangunkan sebagai projek perumahan yang mampu dimiliki oleh penduduk kampung yang majoritinya berpendapatan rendah.
"Tetapi apabila Musa menjadi Ketua Menteri Sabah pada 1 April 2003, dua hari selepas hari jadinya, Musa telah meluluskan tanah tersebut kepada Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) seluas lebih 100 ekar," ujar Hassnar yang menyebut Musa telah mendesak kroninya mengadakan usahasama untuk memajukan tanah tersebut sebagai pusat komersil dan bukannya projek perumahan untuk rakyat.
Modus operandi yang dilakukan sama seperti tanah Usia di 1Borneo, tetapi kata Hassnar, tanah adat di BDC yang difaraidkan kepada MPS dimajukan oleh kroninya.
"Musa harus menafikan tidak mempunyai kaitan langsung dengan syarikat yang menjalankan kerja menimbus tanah dan membina hotel lima bintang di atas tanah berkenaan? Apakah beliau tidak terlibat jika kediaman rasminya dijadikan alamat pengarah syarikat?," tanya Hassnar yang telah menyampaikan sapena kepada Musa agar hadir memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Sandakan pada 13 April 2009.


Tegas Hassnar, beliau kesal kerana tanah adat BDC berkenaan telah dicagarkan dengan Sabah Development Bank Berhad untuk mendapatkan pinjaman sejumlah RM104 juta bagi membiayai projek mewah tersebut.
”Saya tidak pasti pinjaman tersebut dibuat atas nama syarikat mana, tetapi saya pasti dua syarikat yang memajukan tanah adat berkenaan, Integral Acres Sdn.Bhd dan Compo Sdn.Bhd menggunakan alamat kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Libaran, ” tegas Hassnar yang kesal kerana Musa sanggup menjual maruah orang Melayu dengan menyerahkan tanah berkenaan kepada ’Orang Cina’.

Hassnar yang sebelum ini menggelarkan dua syarikat berkenaan sebagai 'Mafia' kerana berpendapat tidak ada mana-mana undang-undang di dunia ini yang boleh merampas tanah orang Melayu sesuka hati tanpa pampasan dan diserahkan kepada Orang Cina untuk apa juga tujuan.
”Ini adalah perlakuan jenayah dan Ketua Menteri Sabah telah bersubahat dengan penjenayah,” ujar Hassnar yang keberatan memberikan maklumat secara terperinci kerana kesnya menentang perobohan rumah orang Melayu di BDC ketika era Chong Kah Kiat sedang dibicarakan di mahkamah.
Projek 'hantu' membangunkan tanah adat BDC ini diluluskan kepada syarikat, anak kroni Musa Aman, Nasir Yeo dan Andrew Lim tidak teratur dan mempunyai agenda apabila tidak mempamerkan sebarang notis atau papantanda projek sebagaimana yang diwajibkan di dalam semua projek kerajaan.
Maklumat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati proksi Musa, Andrew Lim Nyuk Foh adalah Pengarah Maxland Sdn.Bhd. Manakala pemegang saham Maxland Sdn.Bhd disembunyikan sebaliknya dinyatakan sebagai Priceworth Industries Sdn.Bhd.

KRONI...Nasir Yeo, jutawan bankrap menggunakan anaknya sebagai proksi Musa Aman untuk membangunkan projek di tanah adat orang Melayu.

Lebih mengejutkan, Mantan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia, Tan Sri Sabaruddin Chik turut menjadi Pengarah Priceworth Wood Product Berhad bersama Andrew Lim Nyuk Foh, Ooi Jit Huat, Ramlee Mohd Shariff, Kwan Tack Chiong, Chok Syn Vun.
Pemegang utama saham Priceworth Wood Product Berhad ialah Cimsec (Tempatan) Sdn.Bhd iaitu 45.34 juta saham dan Andrew Lim Nyuk Foh pemegang saham kedua terbanyak iaitu 11,051 juta saham dan Sabaruddin Chik sebanyak satu juta saham.
Manakala sebuah syarikat yang terlibat dengan pembinaan hotel lima bintang ialah Integral Acres Sdn.Bhd yang turut melantik Andrew Lim Nyuk Foh dan Azlan Nasir @ Yeo Guan Hock sebagai Pengarah syarikat dan dimiliki oleh Campo Sdn.Bhd dan Priceworth Wood Product Berhad yang masing-masing memegang 2.45 juta dan 2.55 juta saham.
Azlan Nasir @ Yeo Guan Hock turut menjadi Pengarah Campo Sdn.Bhd dan menjadi salah seorang pemegang saham utama dengan 1.2 juta saham disamping Hamidah Mohd Kamdi, Kan Kam Mun dan Betny Chin Sang @ Elizabeth Chin.

Sementara itu, dalam perbicaraan baru-baru ini, Setiausaha MPS, Mohamad Hamsan Awang Supain (gambar) ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Sandakan mengakui bahawa terdapat usahama yang dimaterai antara MPS dengan syarikat swasta untuk membangunkan kawasan seluas 100 ekar di BDC sebagai perumahan dan bangunan komersil.
Ikuti cerita yang lebih lanjut di laman www.sabahkini.net
Tiada ulasan:
Catat Ulasan