Ketua Penerangannya, Zainuddin Hassan merujuk siasat akhbar Daily Express ruangan Forum bahasa Malaysia terbitan Isnin, 6 April 2009 yang bertajuk 'Perbualan di antara Sabahan dan Tuhan.'
"Apa yang disiarkan di dalam forum ini ialah mempersendakan Tuhan dan menghina agama Islam sebagai agama rasmi negara," ujar Zainuddin yang menyarankan agar KDN menggantung permit akhbar berkenaan yang tidak peka dengan sensitiviti umat Islam jika ianya berterusan.
Kata Zainuddin, media arus perdana dan tempatan tidak sewajarnya menyiarkan kenyataan yang berbaur hasutan dan secara terang-terang menghina konsep Ketuhanan Tunggal umat Islam dengan menyebarkan dakyah Trinitas di dalam akhbar.
"Perbuatan ini tidak wajar dan menyalahi Fasal 3, Perlembagaan Persekutuan dan ianya harus dihentikan serta merta dan akhbar berkenaan harus meminta maaf secara terbuka," kata Zainuddin yang kesal kerana pandangan berkenaan disiarkan tanpa suntingan.
Menurut ajaran Islam, Tuhan tidak beranak atau diperanakkan dan tidaklah wajar jika penulis surat forum berkenaan yang menamakan dirinya sebagai Greenman menyebut dalam tulisannya bahawa Tuhan membahasakan 'anak' kepada Sabahan dan dialog berkenaan turut menghina konsep Ketuhanan dan toleransi beragama di Malaysia.
"Kenapa harus mempersendakan Tuhan orang lain dan dalam masa yang sama mencetuskan suasana tidak harmoni di kalangan masyarakat majmuk yang mengamalkan toleransi beragama," ujar Zainuddin lagi.
Zainuddin turut mendesak Pesuruhjaya Polis Sabah menjalankan siasatan di bawah Akta Hasutan terhadap penulis surat berkenaan dan mengambil tindakan di bawah undang-undang jenayah terhadap pengarang akhbar dan penulis berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan