KEENGGAN Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah, Datuk Sam Mannan menangguhkan sementara kelulusan lesen pembalakan bagi Konsesi YS 3/07 (5) yang termasuk di dalam kawasan tanah tinggi melebih 25 darjah di Hutan Simpan Kuamut menyebabkan Parti Kemajuan Rakyat (PKR) menghantar notis meminta penjelasan.
Ketua Penerangan Angkatan Muda PKR Sabah, Zainuddin Hassan, yang menghubungi Sabahkini.net selepas menghantar Nota Bertulis mendesak Pengarah Perhutanan Sabah memberhentikan juga pembalakan di Konsesi YS 3/07 (5) setelah mengarahkan pemberhentian sementara dua konsesi di tanah tinggi melebihi 25 darjah iaitu Konsesi YS 3/07 (6) Seksyen A dan YS 3/07 (6) Seksyen B selepas Naib Presiden PKR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan membuat laporan polis di Balai Polis Penampang.
“Kita desak agar kerja-kerja pembalakan di kawasan tersebut dihentikan serta merta dan lesen pembalakan dibatalkan serta merta. Soal kerajaan kena bayar ganti rugi tidak timbul kerana ianya diperolehi melalui jalan tipuan, pemalsuan dan sindiket,” ujar Zainuddin yang telah membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM Sabah di Kota Kinabalu beberapa hari lalu.
Sehubungan itu, Zainuddin mendesak Datuk Sam Mannan memberi penjelasan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh surat yang beliau hantar sebelum mengambil tindakan lanjut, termasuk injunksi Mahkamah.
Memandangkan Hutan Simpan Kuamut yang terletak di kawasan tanah tinggi dan satu-satunya di negeri ini yang masih terpelihara, maka Zainuddin mendesak Kerajaan Negeri menyediakan Kertas Putih untuk dibentangkan dalam sidang Undangan Negeri akan datang serta menjadikannya sebagai dokumen awam bagi membolehkan rakyat mencapainya tanpa halangan birokrasi.
“Kes ini sewajarnya di siasat oleh Bahagian Jenayah Komersil Bukit Aman, tetapi tidak tahu kenapa polis lambat bertindak,” ujar Zainuddin yang mencurigai profesionalisme SPRM yang gagal memberi reaksi positif berhubung isu ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan