Isnin, 13 April 2009

ROMBAKAN KABINET SABAH?

BERIKUTAN penangkapan Pembantu Infrastruktur Sabah, Datuk Japilin Akim oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari Putrajaya tiga hari lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman akan melakukan rombakan kecil kabinet negeri Sabah dalam waktu terdekat.

Walaupun sebelum ini, Musa memberi jaminan Japlin tidak perlu meletakkan jawatan kerana telah diambil tindakan oleh Lembaga Disiplin UMNO, namun penangkapan beliau bersama seorang kontraktor, Limus Jury menyebabkan Musa terpaksa menggugurkan Japlin daripada jawatannya.

Rombakan kecil Kabinet berkenaan akan melibatkan sekurang-kurangnya dua kementerian iaitu Infrastruktur dan Pertanian, namun keputusan rasmi belum diperolehi.

Kelmarin, Japlin yang ditangkap SPRM Khamis lalu dan ditahan reman selama tiga hari untuk membantu siasatan, dibebaskan dengan ikatjamin.









MEWAH....Rumah mewah Japlin di kawasan perumahan elit di King Fisher Park, Kota Kinabalu.

Japlin adalah antara pemimpin Umno yang didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno sebelum pemilihan itu hujung bulan lalu dan keahliannya dalam Umno digantung selama tiga tahun.

Japlin dikenakan ikatjamin RM100,000 manakala Jury dibebaskan dengan ikatjamin RM300,000. Kedua-duanya dibebaskan dari balai polis Karamusing pada kira-kira jam 6.15 petang kelmarin.

Hadir sama ialah peguam mereka David Tan dan Nobert Chin.

Majistret Herlina Musa menolak permohonan SPRM untuk melanjutkan tahanan reman ke atas Japlin dan Jury selama empat hari lagi selepas mendengar hujah dari kedua belah pihak di prosiding yang diadakan di balai polis tersebut.

Dalam pada itu, dua lagi Ketua Pemuda, Nizam Abu Bakar Titingan dan Faizal Ampong turut dipanggil oleh SPRM untuk disoal siasat. Mereka tiba di balai polis Karamunsing sejurus selepas Japlin dan Jury dibebaskan.

Nizam adalah timbalan Ketua Pemuda Umno Sabah manakala Faizal pula merupakan bekas Ketua Pemuda Batu Sapi.

Berikutan penahanan tersebut, difahamkan SPRM turut meneliti kes Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin yang didapati bersalah oleh lembaga disiplin berhubung politik wang.

Siasatan SPRM bermula pada 17 Mac, selepas Khairy didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin UMNO selepas ejennya, Japlin, terbabit dalam politik wang, tetapi hanya diberi amaran kerana tidak cukup bukti.

Beliau juga dibenarkan bertanding jawatan ketua Pemuda Umno, yang dimenanginya selepas menewaskan dua lagi calon, bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir.

Namun, berikutan kontroversi kes berkenaan, Perdana Menteri, Dato' Seri Najib tidak menyenaraikan Khairy di dalam Kabinet Baru beliau yang mengangkat sumpah Jumaat lalu, sebaliknya melantik dua ahli Parlimen yang mewakili Pemuda, Razali dan Muhkriz sebagai Timbalan Menteri.

Story di download daripada sabahkini.net

Tiada ulasan:

Catat Ulasan